Makna Falsafah Menurut al-Kindi

Al-Kindi merupakan salah seorang yang digolongkan sebagai ahli falsafah Islam. Beliau digelar sebagai ahli falsafah Islam yang pertama dan ahli falsafah Arab. Beliau merupakan seorang yang berketurunan arab asli dari Selatan Semenanjung Arab dari keturunan al-Kindi.

Falsafah secara umumnya ditakrifkan sebagai daya usaha pemerasan akal manusia untuk mencapai hakikat sama ada di bidang metafizik, hakikat di bidang akhlak atau nilai (aksiologi), dan hakikat di bidang ilmu atau makrifah (epistimologi).

Menurut al-Kindi, yang merupakan orang yang memperkenalkan falsafah dalam dunia Islam, menjelaskan bahawa falsafah sebagai suatu ilmu pengetahuan yang paling mulia iaitu ilmu pengetahuan mengenai sebab dan realiti Ilahi yang pertama dan merupakan sebab dari semua realiti. Beliau juga turut menyatakan bahawa ia adalah ilmu dari segala ilmu dan kearifan dari segala kearifan. Maksudnya, falsafah merupakan suatu ilmu yang penting dan utama berbanding ilmu-ilmu lain iaitu ilmu duniawi. Dalam urutan ilmu pengetahuan duniawi, ilmu falsafah mendapat kedudukan yang pertama dan setiap manusia mesti mempelajarinya. Oleh kerana itu, falsafah di sini al-Kindi berada pada kedudukan pertama dalam klasifikasi ilmu pengetahuan.

Beliau juga menyatakan bahawa falsafah itu adalah pengetahuan tentang hakikat benda-benda yang boleh dijangkaui oleh manusia kerana matlamat utama seseorang ahli falsafah dalam ilmu teori itu untuk mencapai kebenaran dan dalam ilmu praktiknya pula untuk bertindak sejajar dengan kebenaran. Ilmu ini merangkumi ilmu teologi, ilmu tauhid, etika dan semua jenis ilmu yang berguna.

Dalam risalah beliau iaitu fi falsafah al-ula, beliau mendefinisikan falsafah sebagai pengetahuan tentang hakikat benda-benda yang boleh dijangkau oleh manusia, kerana matlamat utama seseorang ahli falsafah dalam ilmu teori ialah untuk mencapai kebenaran dan dalam ilmu praktikal pula untuk bertindak sesuai dengan kebenaran. Seterusnya, beliau menghuraikan, ia juga adalah ilmu tentang hakikat (kebenaran) sesuatu menurut kemampuan manusia yang meliputi ilmu keTuhanan, ilmu keEsaan, ilmu tentang sesuatu yang berguna dan cara memperolehinya serta cara menjauhi perkara-perkara yang merugikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...