Pemikiran Manusia
1.0 Pengenalan Konsep Pemikiran
Konsep pemikiran adalah proses membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan
aktiviti mental dalam otak manusia. Semasa berfikir, otak manusia akan
bertindak dengan usaha memahami rancangan luar yang diterima melalui
deria, membentuk konsep, membuat tafsiran dan tindak balas berdasarkan
pengalaman yang sedia ada dalam ingatan. Teori dan definisi pemikiran yang
telah dikemukakan oleh ahli- ahli psikologi, terutamanya sejak kurun ke-20,
adalah dihuraikan secara ringkas seperti yang berikut.
Menurut Dewey (1910) menghuraikan pemikiran sebagai aktiviti mental dalam
sesuatu proses untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Guilford(1967)
pula berpendapat pemikiran merupakan sesuatu jenis kebolehan atau keupayaan. Ia
mempunyai pelbagai kemahiran berfikir. Dari Teori Roger Sperry (1970)
menghuraikan fungsi otak kiri manusia yang berfikir secara kritis dan otak
kanannya berfikir secara kreatif. William W. Wilen (1994) pula mentafsirkan
pemikiran sebagai proses dalaman yang pantas, sama ada secara sedar atau tidak
sedar terhadap rangsangan luar yang diterima melalui deria. Di dalam proses
dalaman ini, data baru akan disimpan melalui cara pemadanan, perbandingan dan
klasifikasi dengan maklumat atau pengetahuan yang sedia ada dalam ingatan.
Menurut pandangan Islam, berfikir ialah fungsi akal yang mengawal tenaga
supaya otak manusia dapat bekerja dan beroperasi. Tenaga ini diperolehi melalui
tafakur (merenung). Berdasarkan pandangan dan definisi yang telah dinyatakan,
konsep pemikiran boleh dirumuskan iaitu pemikiran adakah sesuatu proses yang
menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu
keraguan atau masalah yang timbul dengan menggunakan pelbagai cara, membuat
pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logikal dan munasabah terhadap
proses yang dialami. Pemikiran merupakan proses yang menggunakan akal untuk
menyelesaikan masalah. Proses ini melibatkan aktiviti- aktiviti menyusun idea-
idea atau perkara- perkara yang tersembunyi, membuat kesimpulan untuk
mendapatkan ilmu atau kemahiran baru yang boleh digunakan untuk penyelesaian
masalah yang kian mencabar.
2.0 Konsep Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir ialah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses
pemikiran. Seseorang yang memperoleh kemahiran berfikir sanggup dan cekap
menyusun maklumat, konsep atau idea secara teratur dan membuat kesimpulan atau
keputusan yang tepat untuk tindakan terarah dan sewajarnya. Mengikut kajian,
terdapat tiga peringkat pemikiran. Di peringkat bawah ialah pemikiran konkrit
diikuti dengan pemikiran abstrak dan peringkat tertinggi ialah pemikiran
kreatif.
Pemikiran konkrit adalah berkaitan dengan kemahiran berfikir di peringkat
ingatan dan kefahaman sahaja. Manakala pemikiran abstrak dan kreatif
adalah berkaitan dengan kemahiran kritis dan kreatif.
3.0 Ciri- ciri Pemikiran
Berdasarkan teori dan definisi ahli-ahli psikologi tersebut,maka ciri-
ciri pemikiran dirumuskan seperti berikut iaitu pemikiran berlaku kerana
wujudnya rangsangan khasnya semasa keraguan dan masalah yang timbul dan berlaku
dalam minda seseorang. Ia berfungsi sebagai suatu proses mengikut prosedur yang
menyeluruh. Ciri proses pemikiran merupakan aktiviti kognitif yang berlaku ke
atas rangsangan yang diterima dengan pengalaman- pengalaman yang sedia ada
dalam ingatan. Ia merupakan usaha seseorang individu yang cuba mencari,
memahami, mengadaptasi dan mengasimilasinya sebagai tindak balas terhadap
rangsangan yang diterima pada ketika itu. Tujuan berfikir seseorang ialah
mentafsir rangsangan dengan membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi
yang rasional terhadapnya atau menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
4.0 Model- model Pemikiran
Konsep pemikiran dapat digolongkan dalam satu model pemikiran pertama berdasarkan
pengertian, definisi dan tafsiran ahli- ahli psikologi. Model pemikiran pertama
ini merangkumi tiga komponen utama iaitu operasi mental, pengetahuan dan sikap.
Operasi mental terdiri daripada operasi kognitif dan metakognitif. Operasi
kognitif merangkumi kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, manakala
operasi metakognitif merupakan operasi yang mengarah serta mengawal kemahiran
dan proses kognitif iaitu membimbing fikiran orang supaya mencari makna dan
khususnya, melakukan operasi merancang, mengarah, menyemak dan menilai.
Pengetahuan pula terdiri daripada fakta, maklumat, ilmu, kefahaman, hukum,
peraturan dan sebagainya. Pengetahuan ini adalah disimpan dalam ingatan.
Manakala sikap pula terdiri daripada penentuan keberkesanan terhadap proses
pemikirannya. Sikap ini adalah berkaitan rapat dengan nilai kendiri. Sikap
positif atau negatif akan mempengaruhi peringkat kemahiran dan kualiti berfikir
seseorang. Rajah 1.0 berikut menyatakan Model Pemikiran Pertama dalam tiga
komponen utama tersebut.
Rajah 1.0: Model Pemikiran: Komponen-komponen Berfikir |
Model Pemikiran Kedua pula
merangkumi tiga komponen yang utama, iaitu Input ( rangsangan), Operasi
(proses) dan Output (hasil). Selain daripada ketiga- tiga komponen ini,
sesetengah ahli psikologi pula menghuraikan proses pemikiran dengan menambahnya
dua komponen yang berkaitan iaitu proses ingat kembali dan metakognisi. Proses
ingat kembali mengandungi ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang.
Mengikut kajian , data yang diproses akan disimpan pertamanya dalam ingatan
jangka pendek yang berulang- ulang dan kemudian dikodkan dalam ingatan jangka
panjang.
Data yang disimpan dalam ingatan, sama ada jangka pendek atau jangka
panjang, akan diingat kembali supaya komponen operasi mental dapat digunakan
untuk menjalankan proses tafsiran ke atas data yang sedang diperoleh daripada
rangsangan luar. Semasa proses pemikiran berlaku, proses metakognisi pula
merancang dan mengarah, mengawal, menyemak dan menilai segala operasi
pemikirannya. Rajah 1.1 menunjukkan Model Pemikiran Kedua yang menghuraikan
proses pemikiran manusia dalam lingkungan kelima- lima komponen yang telah
disebutkan.
Rajah 1.1 Model Pemikiran Kedua: Proses Pemikiran |
5.0 Jenis- jenis Pemikiran
Terdapat
beberapa jenis pemikiran. Jenis-jenis pemikiran ini boleh digalakkan oleh guru
di dalam bilik darjah.
5.1 Pemikiran Mendatar/ Lateral
Pemikiran lateral juga dikenali sebagai pemikiran analiitkal. Ia telah
diperkenalkan oleh Dr Edward De Bono. Kepentingan pemikiran mendatar ialah
sesuatu masalah perlu dilihat daripada perspektif- perspektif yang berlainan
supaya ia mudah untuk diselesaikan. De Bono mengatakan bahawa terdapat empat
faktor penting dalam pemikiran mendatar iaitu mengenalpasti idea- idea dominan
utama dalam masalah yang dihadapi, melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut
yang berlainan, melonggarkan cara- cara pemikira yang terkawal dan menggunakan
idea-idea yang diberikan oleh orang lain.
Tujuan menggunakan teknik pemikiran lateral ialah untuk merangsang
pemikiran kreatif khasnya dalam aktiviti sumbangsaran di mana murid-murid dalam
setiap kumpulan perlu berhubung dengan satu sama lain. Terdapat 5 jenis teknik
pemikiran lateral. Antaranya iaitu perkaitan bebas, konsep “reversal”, kaedah
objek fokal, kaedah cabaran dan menganalisa masalah. Bagi teknik perkaitan
bebas, ia berlaku dalam proses sumbangsaran di mana terdapat banyak idea- idea
bebas untuk murid-murid mmebentuk kaitan dengan konsep-konsep yang
dikaji. Kaedah “reversal” adalah untuk menilai sesuatu keadaan yang biasa
secara terbalik. Murid-murid tidak perlu mencari jawapan yang betul tetapi
penyusunan maklumat akan menggalakkan mereka untuk melihat cara- cara yang berbeza
untuk menilai sesuatu situasi.
Kaedah
objek fokal di mana murid-murid memilih sesuatu objek secara rawak dan
mengaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji. Murid-murid mencabar
cara- cara atau perkara-perkara yang dilakukan dengan keadaan sedia ada
dinamakan kaedah cabaran. Ia menggalakkan konsep pemikiran di luar kotak.
Proses memcahkan situasi atau masalah kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil
dinamakan teknik menganalisa masalah. Seseorang individu perlu melihat
cara-cara yang berbeza untuk menyusun sesuatu pola dan menjana
alternatif-alternatif berbeza kepada sesuatu masalah.
5.2 Pemikiran Menegak
Pemikiran
ini juga diasaskan oleh Dr Edward De Bono di mana pemikiran ini menggunakan
proses-proses akal yang trdisional untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga
dikenali sebagai “ vertical thinking”. Ciri-ciri pemikiran menegak adalah
murid-murid mesti betul dan tepat dalam setaip langkah, klasifikasi dan label
adaah tetap, seseorang itu mesti betul setiap masa, ia mengikut urutan yang
spesifik dan menunpukan kepada apa yang relevan.
Seseorang individu akan menggunakan pemikiran lateral apabila
bergerak dari sesuatu idea tetap kepada proses mencipta idea- idea baru. Guru
harus menggalakkan para murid menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi
dengan pemikiran menegak melalui satu set soalan seperti apakah masalah yang
dihadapi, apakah alternatif-alternatif yang terdapat, apakah kebaikan dan
keburukan setiap alternatif tersebut, apakah pilihan-pilihan jalan
penyelesaiannya dan adakah jalan penyelesaian yang dipilih itu efektif
atau tidak.
Jadual 1.0 Perbezaan di antara pemikiran menegak dan pemikiran lateral. |
5.3 Pemikiran Kritis
Pemikiran kritis berlaku
dalam situasi yang memerlukan seseorang membuat keputusan berdasarkan analisis
serta penilaiannya terhadap masalah yang dihadapinya. Ia adalah satu bentuk
pemikiran yang jelas dan bijak dan melibatkan beberapa kemahiran seperti kemahiran
membuat pemerhatian, penilaian dan pertimbangan. Selain itu, pemikiran kritis
juga melibatkan kebolehan menganalisis nilai sesuatu idea, data atau maklumat
bagi tujuan pemahaman yang jelas dan munasabah terhadap sesuatu perkara ataupun
idea. Ia juga boleh dirujuk sebagai satu bentuk pemikiran reflektif.
Pemikiran kritis membenarkan
murid-murid mengenalpasti isu-isu yang tidaj selari dengan struktur skema (
cara melihat dunia mengikut pengalaman yang lepas) dan mencari cara- cara
untuk mengubahsuai skema untuk memasukkan maklumat baru atau menolak sesuatu
maklumat melalui proses penaakulan. Ciri-ciri murid yang berfikir secara kritis
adalah membina kemahiran pemikiran dan penaakulan yang diperlukan untuk menilai
maklumat menyelesaikan masalah, menunjukkan pemikiran kritis dan analitikal
melalui cabaran aktif dan penglibatan dalam kurikulum, boleh menganalisa
hujah,menjana tafsiran, mengenal dan menilai tanggapan dan pandangan mereka
sendiri dan orang lain.
Guru-guru boleh menerap
kemahiran pemikiran kritis di kalangan murid seperti menggunakan strategi
berpusatkan murid, mengurus fakta secara sistematik dan tersusun, memberi
soalan- soalan yang lebih sukar kepada murid yang bijak, menggalakkan
perbincangan dan aktiviti menyelsaikan masalah, mengarah murid-murid
membanding isi-isi yang kuat dan lemah dan mengarah murid-murid membuat
pertalian yang signifikan serta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di
dalam dunia sebenar.
Pemikiran
kritis juga memerlukan individu berfikir secara sempurna. Apa yang dimaksudkan
sempurna adalah melihat idea ataupun isu itu secara meneyeluruh yang memerlukan
penelitian menyeluruh pada idea atau perkara supaya dapat memperolehi
kesimpulan atau hujah yang bernas .
5.4 Pemikiran Kreatif
Ialah satu jenis pemikiran di mana seseorang dapat memikirkan
pelbagai idea baru yang belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan
sesuatu masalah. Seorang guru yang cekap harus menjana pemikiran kreatif di
kalangan murid-muridnya dengan memberikan peneguhan positif dalam bentuk
ganjaran dan hadiah apabila murid-muridnya mengeluarkan idea yang unik dan
kreatif.
Guru-guru boleh menyemai kemahiran berfikir secara kreatif dengan cara-cara
seperti melatih murid-murid dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan
relevan, guru mengemukakan soalan mengikut darjah soalan yang diberikan, soalan
latihan yang diberikan bermula dengan soalan mudah dan berakhir dengan soalan
sukar, menyediakan soalan lisan secara spontan, guru-guru mesti memupuk
semangat ingin tahu dan pemikiran murid dengan soalan yang unik, murid
mempunyai kemahiran berfikir di luar kotak dan guru-guru perle memperkenalkan
strategi pengajaran seperti penyoalan dan penyelesaian masalah agar menjana
pemikirna kreatif.
Seorang
guru perlu menjalankan lebih banyak aktiviti dan strategi pengajaran dan
pembelajaran seperti inkuiri penemuan dan kaedah penyelesaian masalah untuk
menjana pemikiran kreatif. Selain itu, banyakkan soalan terbuka di dalam bilik
darjah dan menerima pelbagai jawapan yanh betul asalkan ia logik dan munasabah.
Guru-guru harus memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada aktiviti
sumbangsaran, perbahasan dan debat agar murid-murid dapat melibatkan diri dalam
perbincangan intelektual.
5.5 Pemikiran Divergen
Ia juga dikenali sebagai pemikiran bercapah. Tujuan utama pemikiran ini
ialah untuk murid menjanakan seberapa banyak idea mengenai sesuatu topik dalam
satu masa yang ditetapkan. Ia juga melibatkan kemahiran guru- guru dalam
membahagikan sebuah topik kepada unit- unit yang kecil supaya murid- murid
dapat menganalisis topik utama secara lebih mendalam. Di dalam proses pemikiran
divergen, individu yang berkenaan tidak lagi dikongkong oleh pengetahuan sedia
ada, tetapi berfikir secara kreatif untuk mencari cara atau idea baru yang
sesuai untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan. Pemikiran
divergen lebih sesuai digunakan dalam bidang sastera dan humanistik.
Guru-guru boleh meningkatkan pemikiran divergen dalam pengajaran
dan pembelajaran dengan memberikan soalan–soalan bercapah yang menekankan
pelbagai jawapan/cadangan/cara penyelesaian. Murid juga diberikan kebebasan
dengan menggunakan cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah terbuka. Guru
perlu menggunakan tenik penyoalan terbuka atau bercapah. Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah
menggunakan kaedah kumpulan, kaedah perbincangan dan sumbangsaran agar
murid-murid dapat menjana banyak idea.
Selain itu, guru-guru perlu menggalakkan murid- murid mengeluarkan
idea secara kreatif dari diri sendiri. Peranan guru juga dengan mendengar,
menerima dan memuji cadangan dan idea yang luar biasa daripada murid untuk
menggalakkan pemikiran divergen di kalangan murid-murid. Senua individu
mempunyai keupayaan berfikir secara divergen kerana semua individu mempunyai
otak sebelah kanan.
5.6 Pemikiran Konvergen
Pemikiran
ini telah dicipta oleh ahli psikologi terkenal yang bernama J.P Guilford pada
tahun 1967. Beliau melihat pemikiran konvergen sebagai daya berfikir yang
membolehkan seseorang menggunakan pengetahuan sedia ada dengan integrasi logik
dan susunan bagi menghasilkan satu idea atau jawapan yang lazim. Penyelesaian
masalah dilakukan berdasarkan pengetahuan, pengalaman, peraturan,
prinsip,teori, hukum atau rumus yang sedia ada.
Pemikiran konvergen yang bertumpu ke arah mencari satu jawapan atau satu
penyelesaian tertentu adalah dikenali sebagai pemikiran tertumpu atau pemikiran
berpandu. Pemikiran ini sesuai untuk mata pelajaran sains, matematik dan
teknologi. Soalan-soalan konvergen terdiri daripada soalan- soalan yang dapat
menganalisis satu sumber maklumat.Kebiasaannya soalan konvergen bermula dengan
perkataan mengapa, bagaimana atau dalam cara apa..?.
Proses pemikiran yang terlibat dalam menjawab soalan-soalan di atas ialah
menerangkan, menyatakan, membandingkan serta membezakan. Guru-guru harus
menggalakkan pemikiran konvergen kerana dalam pemikiran ini, murid-murid perlu
membuat pilihan daripada banyak jawapan atau respon atau alterntif-alternatif
yang berbeza. Murid-murid yang pandai mempraktikkan pemikiran ini ialah merela
yang dapat mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai sumber untuk membentuk
satu penyelesaian yang betul.
Terdapat
beberapa cara bagi meningkatkan pemikiran konvergen dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Antaranya adalah guru memberikan soalan-soalan tertutup yang
menekankan satu jawapan atau cadangan atau cara penyelesaian sahaja. Selain
itu, guru perlu memberi aktiviti pembelajaran dengan arahan yang jelas, ringkas
dan lengkap. Tumpukan pembelajaran kepada perkara-perkara fakta dan teknikal.
Teknik penyoalan menggunakan teknik penyoalan tertutup atau berstruktur.
Pemikiran konvergen menggunakan kaedah induktif dan deduktif. Soalan-soalan
yang diberikan berasaskan hukum, prinsip atau konsep-konsep tertentu demi
memperoleh jawapan yang tepat.
5.7 Pemikiran Reka Cipta
Pemikiran ini didefinisikan sebagai pemikiran “artistik” di mana individu boleh
menunjukkan kemahiran dan bakat. Sifat-sifat individu yang mempunyai kemahiran
pemikiran reka cipta yang tinggi adalah seperti mempunyai kemahiran motor yang
tinggi, kemahiran yang tinggi dalam dalam berinteraksi dengan orang lain dan
boleh mencipta sesuatu yang unik dalam jangka masa yang pendek.
Pemikiran reka cipta kreatif adalah amat penting bagi subjek seeprti seni,
pengukiran, kemahirna hidup, kajian tempatan dan sains. Ini berlaku apabila
perkembangan perisian di mana murid- murid mesti mengkordinasi pergerakan
tangan mereka dengan menggunakan kemahiran motor mereka. Guru-guru boleh
memanipulasi kemahiran motor “manipulatives” murid-murid untuk meningkatkan
kemahiran reka cipta mereka. “ Manipulatives” melibatkan kordinasi mata dengan
apa yang dibuat oleh kemahiran tangan. Ini merangsang perkembangan motor hlus
kerana ia memerlukan kemahiran penggunaan tangan terkawal dan otot jari.
Guru-guru boleh melaksanakan strategi dan aktiviti-aktiviti yang boleh
meningkatkan kemahiran kordinasi otak dan motor murid-murid mereka. Satu
daripada masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru adalah mengajar murid-murid
yang mempunyai kemahiran motor halus dan kasar yang berbeza-beza di dalam bilik
darjah.
5.8 Pemikiran Celik Akal
Pemikiran celik akal didefinisikan sebagai pemikiran yang melibatkan
gerak hati dan kebijaksanaan. Pemikiran ini juga merujuk kepada kebolehan
mental individu untuk menggunakan celik akal yang abstrak untuk menyelesaikan
masalah-masalah yang sedia ada. Pemikiran celik akal berhubungkait dengan
memperolehi penyelesaian secara tiba-tiba dalam menyelesaikan masalah seperti
yang dikemukakan oleh teori Kohler. Oleh itu, pengalaman ini dikenali sebagai
pengalaman ‘Aha’ kerana ia menghubungkait kepada situasi di mana individu-individu
mendapatkan penyelesaian kepada sesuatu masalah dengan tiba-tiba dan dalam
keadaan yang tidak terancang.
Pemikiran reka cipta merujuk kepada pengalaman seseorang untuk menyelesaikan
masalah-masalah yang sukar dalam jangka masa yang tertentu. Pengalaman lepas
dan kesediaan murid-murid untuk belajar akan membantu mereka untuk mendapatkan
penyelesaian kepada masalah mereka secara tepat dan efisien. Dalam pemikiran
ini, murid-murid akan mengalami pengalaman baru dan penyelesaian kepada masalah
dan juga mendapat pengertian yang mendalam. Mengikut pengertian tersebut, apa
yang tidak diketahui dan difahami pada masa lampau akan menajdi jelas dan
mudah kepada seseorang individu.
Strategi
yang dicipta dari pemikiran ini adalah berbeza daripada proses pemikiran
normal. Guru-guru patut menggunakan rangsangan yang sesuai untuk menggalak
pemikiran celik akal di kalangan murid-murid mereka dengan menggunakan alat
bantuan mengajar seperti kotak teka-teki, radas matematik dan lain-lain. Guru-guru
juga mesti memastikan yang mereka memberi penjelasan yang jelas tentang
proses-proses dan kaedah-kaedah yang terlibat sebelum mengarah murid-murid
mereka untuk menjalankan aktiviti- aktiviti yang menggunakan pemikiran celik
akal. Oleh yang demikian, boleh dilihat yang guru memikirkan cara-cara yang
berbeza untuk menyemai pelbagai kemahiran berfikir di kalangan murid-murid.
6.0 Teknik-teknik Merangsang Kepelbagaian Pemikiran Murid
Penggabungan pemikiran
kreatif dan pemikiran kritis adalah salah satu matlamat penting pendidikan
untuk membantu murid-murid. Kedua-dua jenis pemukiran ini adalah penting bagi
membentuk seorang pemikir yang seimbang. Murid-murid perlu diterapkan dengan pelbagai
kemahiran berfikir untuk membolehkan mereka menjalankan tugasan-tugasan yang
tidak dapat diurus oleh mereka sendiri, membawa murid-murid ke tahap pencapaian
yang membolehkan mereka menghabiskan tugasan secara sendiri, membolehkan
murid-murid mencapai kebolehan berdikari.
Selain itu,
membenarkan murid-murid mengarah pembelajaran melalui pencarian penyelesaian
masalah, membantu menjadikan proses pemikiran murid-murid lebih eksplisit.
Murid-murid juga boleh membentk hipotesis dan ujian dengan maklum balas serta
merta dan membantu dalam perbincangan dengan rakan sebaya.
Pihak
sekolah juga boleh mengambil langkah-langkah untuk menyemai pengajaran
kemahiran berfikir dalam konteks kurikulum dan bukan bukan kurikulum seperti
pengajaran langsung pemikiran dalam konteks bukan kurikular, penggunaan
kaedah-kaedah yang menggalak pemikiran dalam konteks kurikular dan penyusunan
pelajaran dengan objektif kemahiran-kemahiran yang spesifik.
Selain daripada menyemai kemahiran berfikir yang asas, guru-guru juga
perlu menyemai kemahiran berfikir tahap tinggi dalam aktiviti kelas seperti
pembuatan keputusan dan metakognitif (memikirkan tentang kemahiran berfikir).
Guru-guru perlu menerapkan kemahiran berfikir seperti mencari maklumat,
perasaan ingin tahu, perasaan mengambil berat, kebolehan membuat refleksi dan
membuat penilaian rasional. Guru-guru boleh menyemai kemahiran berfikir di
kalangan murid-murid seperti dalam Jadual 2.0 berikut. Justeru itu,
guur-guru memainkan peranan penting dalam membantu murid-murid menjadi pemikir
yang efektif walaupun mereka memiliki gaya-gaya pembelajaran yang berlainan.
Penyemaian Kemahiran
Berfikir
|
Kaedah Menggalak Kemahiran
Berfikir
|
Menyemai kemahiran berfikir
kreatif
|
Menjana banyak pilihan
divergen bagi sesuatu situasi penyelesaian masalah
|
Menyemai kemahiran berfikir
metakognisi
|
Memantau, menilai dan
memandu pemikiran sendiri
|
Menyemai pemikiran
kritikal/konvergen
|
Menganalisa komponen dam
hubungan dalam sesuatu sistem
|
Menyemai pemikiran divergen
|
Membandingkan dan
membezakan pilihan-pilihan
|
Menyemai kemahiran berfikir
divergen dan penaakulan
|
Membuat inferens dan
pentafsiran dariapada data
|
Jadual 2.0 :
Kaedah-kaedah Untuk Menyemai Kemahiran Berfikir
7.0 Kepentingan Kemahiran Berfikir
Kita akan menjadi pemikir yang baik apabila kita sedar akan pemikiran kit
adan berusaha berfikir dengan lebih teliti dan bertanggungjawab terhadap proses
pemikiran kita. Kemahiran berfikir amat diperlukan bagi merealisasikan Wawasan
2020 dna hasrat negara. Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada
kebijaksanaan dan kekuatan minda yang dimiliki oleh rakyatnya.
Kemahiran berfikir amat penting kerana keputusan yang baik adalah hasil
daripada proses pemikiran yang baik. Pemikir yang baik perlu menyedari dia
sedang berfikir dan sedang menggunakan segala kemahiran-kemahiran berfikir yang
diperlukan bagi membuat keputusan yang baik. Latihan berfikir amat diperlukan
dalam usaha mencapai hasrat falsafah pendidikan negara iaitu membentuk insan
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kemahiran ini dapat
melatih murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dewasa ini dengan
bijak dengan cara menggabungkan segala pengetahuan, pengalaman dan kemahiran
berfikir yang diajar atau diperoleh.
Kemahiran berfikir juga melahirkan individu yang lebih berfikiran terbuka,
berkeyakinan serta berani menyuarakan pendapat dan pandangan serta dapat
menghasilkan idea yang bernas seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.
Tidak dapat dinafikan maklumat adalah sumber pengetahuan kepada daya fikir dan
dengan ledakan teknologi maklumat ini, guru bukanlah sumber utama pengetahuan
kerana pembelajara lebih berbentuk mencapah. Gabungan dariapda dua unsur ini
iaitu teknologi dan kemahiran berfikir akan melahirkan murid yang kreatif dan
kritis.
8.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, guru harus
memainkan peranan sebagai pencetus keapda aktiviti kemahiran berfikir di
kalangan murid-muridnya. Pelbagai jenis pemikiran perlu didedahkan kepada
murid. Pendedahan ini penting agar murid boleh meneliti kecenderungan berfikir
yang ada pada dirinya.
Berdasarkan daripada huraian
di atas, telah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap jenis-jenis pemikiran akan
membawa faedah yang tidak ternilai kepada murud-muridnya. Lantaran itu, guru
seharusnya berusaha untuk menerapkan cara-cara yang boleh meningkatkan setiap
jenis pemikiran tersebut dalam persediaan pengajarannya.