Makna Falsafah

Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut mengenai falsafah dan peranannya dalam hidup dan kehidupan yang sungguh luas dan mencabar ini, marilah kita sama-sama menelurusi makna serta intipati bagi falsafah ini.

Dari segi bahasanya, falsafah ini berasal daripada dua buah perkataan yang di gabungkan iaitu philo dan sophia. Philo bermaksud 'cinta dan suka' manakala sophia pula bermaksud 'hikmah (wisdom)'. Jadi, dengan bergabungnya dua perkataan ini, falsafah membawa maksud 'sukakan hikmah/cintakan hikmah'. Perkataan ini diciptakan oleh Pythagoras. Manakala ahli falsafah pula bermaksud 'orang yang menyintai hikmah'. Perkataan cinta melibatkan kesungguhan, kedalaman perasaan, sentuhan hati, jiwa dan raga. Ia juga melibatkan tindakan yang bersungguh terhadap objek yang dicintai. Perkataan hikmah pula membawa konotasi yang berhubung dengan ilmu pengetahuan, pengalaman hidup dan keupayaan membezakan nilai. Dengan kata lain, falsafah dari segi bahasa bermaksud seseorang yang sukakan hikmah yang mengandungi pelbagai ilmu dan makrifat bagi tujuan kefahaman diri dengan makna yang jelas.


Dari makna etimologi diatas, terdapat dua perkara yang menarik perhatian. Pertama, kemungkinan menyintai sesuatu walaupun tidak memilikinya. Cinta yang cuba dihuraikan disini bermaksud keinginan atau ingin memiliki. Ia tidak menjadi syarat bahawa seseorang itu mesti memilikinya. Dengan kata lain, seorang ahli falsafah merupakan individu yang mengejar dan mencari hikmah (wisdom) walaupun tidak berjaya memilikinya.

Kedua, hikmah digunakan dalam konteks aktiviti intelektual dalam apa jua bidang ilmu, pemahaman, pengamalan moral, percambahan sudut pandangan dan sikap yang membawa kebahagiaan. Maksudnya disini, hikmah itu merupakan suatu perkara yang membantu seseorang itu memahami ilmu dengan lebih mendalam sehingga ia benar-benar merasakan ketenangan.

Falsafah pula perkataan yang berasal dari terjemahan bahasa arab iaitu dari perkataan falasifah, falsafah dan failasuf. Perkataan ini telah di "tasrifkan" menjadi masdar yang merupakan sebuah perkataan mendatang yang di serap masuk dalam bahasa arab.

Dari sudut istilahnya pula, falsafah bermaksud sesuatu ilmu yang mendasar kepada makna sebenar sesuatu perkara sehingga jelas akan makna serta tujuannya. Ini dapat di lihat dari beberapa pandangan dan pendapat para ahli failasuf sama ada dari kalangan failasuf Islam mahupun Barat. Selain dari itu, tidak terdapat makna yang sepakat dari kalangan ahli falsafah tentang makna falsafah itu sendiri, makna falsafah itu berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan waktu bagi para ahli falsafah.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, falsafah merupakan satu bidang ilmu yang penting dan tidak semua manusia mampu untuk memahaminya dengan baik. Hal ini kerana, ia memerlukan satu persediaan yang rapi bagi mempelajarinya. Bidang ilmu ini boleh dikatakan sebagai satu bidang yang merangkumi segala bidang ilmu yang terdapat di dunia ini. Ia meliputi segala ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini.

3 comments:

Anonymous said...

Setuju

Ros said...

Salam, macam mana sekiranya saya mahu kaitkan pemanasan global dengan falsafah?

Unknown said...

Saya nk tanye macam mana saya nk mnghuraikan kata2 hikmah betdasarkan perspektif falsafah. Terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...