Ilmu Falsafah dan Peranannya Dalam Kehidupan

Dalam usaha untuk memahami falsafah, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah ciri-ciri utama atau komponen penting ilmu falsafah itu sendiri. Secara dasarnya, ilmu falsafah memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia mempunyai enam asas, iaitu:
1. Masalah.
2. Sikap.
3. Kaedah.
4. Kegiatan.
5. Kesimpulan.
6. Kesan.

Masalah dalam falsafah ialah masalah-masalah yang berkaitan dengan alam seperti asal usul (dulu), perkembangan (sekarang) dan masa depan (akan datang). Malah, masalah itu juga berkaitan dengan manusia, moral dan etika dan sebagainya. Ini kerana, skop atau perbincangan ilmu falsafah adalah segala sesuatu yang ada wujud dalam alam ini termasuklah persoalan Ketuhanan, Wahyu, Ilmu, Kebenaran dll.Usaha yang berterusan untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti diatas melahirkan beberapa bidang ilmu pengetahuan seperti epistemologi (perbahasan mengenai ilmu), logik, sains, falsafah bahasa, metafizik, nilai dan sebagainya.

Sikap yang dimaksudkan ialah sikap terhadap masalah falsafah itu tadi. Terdapat banyak sikap yang berkaitan dengan falsafah. Akan tetapi hanya sebahagian sahaja yang bersifat falsafah. Falsafah yang diertikan sebagai cinta kepada hikmah wujud apabila seseorang itu berusaha untuk memahami sesuatu dengan hakikatnya. Individu yang berusaha untuk memahami hakikat itu akan mengambil beberapa sikap, iaitu:
Pertama: mencari pandangan yang betul, 
Kedua: bersikap terbuka, bersedia mencari apa yang benar, 
Ketiga: bersedia untuk dibimbing oleh wahyu, pengalaman dan akal atau kesemuanya sekali dalam membuat penentuan atau pemilihan,
Keempat: bersedia menggantung keputusan disebabkan kekurangan bukti yang munasabah.

Sikap-sikap inilah yang disebut sebagai sikap terhadap masalah falsafah tadi. Apabila seseorang telah membina keyakinan kepada sesuatu kesimpulan terhadap masalah falsafah, maka ia akan juga membentuk sikap pada dirinya mengenai masalah falsafah itu. Keputusan yang diambil terhadap sesuatu-dalam kes ini masalah falsafah- maka akan terbentuklah sikapnya terhadap masalah itu. Sikap mempunyai hubungan dengan kerja-kerja akal (falsafah-pemikiran) dan jiwa atau hati (keyakinan-agama). Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berfikir tentang agama, dan mengambil keputusan bahawa agama itu benar, maka sikapnya terhadap agama itu adalah menerima dan mengikutinya. Sekiranya dia membuat keputusan bahawa agama tidak penting, maka dia akan menolak agama. Begitu juga dengan masalah-masalah falsafah yang lain. Dalam hal ini, falsafah digunakan sebagai suatu alat pencarian kepada kefahaman supaya seseorang itu akan hidup lebih baik.

Dalam kehidupan seharian, manusia sudah tentu mempunyai kerangka tindakan atau kaedah tertentu dalam menghadapi sesuatu situasi atau perkara. Apabila masalah dihadapi, pertamanya, dia akan menentukan sikapnya terhadap perkara itu. Kemudian dia akan mencari kaedah yang sesuai untuk menyelesaikannya. Begitu juga dengan falsafah. Kaedah untuk menyelesaikan masalah falsafah itu banyak. Ia bergantung kepada pendekatan dan cara individu itu sendiri dalam menyelesaikannya. Pendekatan antara seseorang dengan seseorang yang lain sudah tentu berbeza berdasarkan kepada pengalaman peribadi, keilmuannya dan keupayaannya. Oleh itu, tanggapan dan tindak balas sudah tentu berbeza antara satu sama lain. Apabila sudah berbeza, maka ia akan membawa juga kepada perbezaan kesimpulan yang dibuat dan kesan yang bakal ditinggalkan.

Oleh yang demikian, masalah yang dihadapi seseorang itu akan membuatkan seseorang itu mengambil sikap tertentu dalam menghadapi masalah yang dihadapi. Dengan sikap itu, ia akan menentukan kaedah atau cara untuk menyelesaikannya atau menghadapinya. Seterusnya, Ia akan mengambil tindakan atau melakukan kegiatan/aktiviti yang selaras dengan kaedah yang telah difikirkan dan sikapnya terhadap masalah tersebut hasil daripada kesimpulan masalah, sikap, kaedah dan kegiatan tadi. Kemudian, hasil dari itu akan memberi kesan. Inilah peranan ilmu falsafah itu yang mana dalam menghadapi masalah-masalah kehidupan seperti persoalan Ketuhanan, Kebenaran, Kebahagiaan dll akan memberi impak terhadap sikap, kaedah, kegiatan-aktiviti- kesimpulan dan kesan yang bakal diambil dalam kehidupan seorang manusia.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...